Wednesday 12 April 2017

Pengenalan kepada Pendidikan Khas


DEFINISI PENDIDIKAN KHAS

Definisi Pendidikan Khas pula ialah satu bidang yang berkaitan dengan kaedah, teknik dan penyelidikan yang tersendiri. Kesemua ini menumpukan ke arah pengurusan dan pembelajaran yang baik bagi menilai dan mematuhi kehendak – kehendak khas. Dari segi praktiknya pendidikan khas merupakan pendidikan individual dengan kaedah-kaedah pengurusan yang bersistematik dari segi susunan fizikal, alatan-alatan khas dan kaedah pengajaran khas. Kesemua intervensi-intervensi yang dibuat ini semata-mata untuk menolong kanak-kanak khas untuk mencapai kepuasan diri dari segi akademik dan vokasional untuk membolehkan mereka berdikari.
Menurut Hallahan dan Kauffman (2006) : Pendidikan Khas didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak – kanak berkeperluan khas. Gargiulo (2003) pula menyatakan Pendidikan Khas merupakan program pengajaran khusus yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan – bahan, peralatan dan kaedah pengajaran khusus.Friend (2005) menyatakan Pendidikan Khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi memenuhi keperluan kanak – kanak kurang upaya. Pengajaran ini mungkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institusi lain. Mansor (2005) : Program pendidikan khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Pendidikan khas juga satu program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid-murid khas. Perkara ini termasuk penggunaan bahan-bahan khas, peralatan khas, teknik pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan dan keupayaan murid. “Pendidikan Khas merujuk pada pendidikan bagi kanak-kanak luar biasa iaitu kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial dan emosi yang tidak mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa hinggakan mereka tidak faedah sepenuhnya daripada rancangan sekolah biasa. (Chua Tee dan Koh Boh Boon,1992).
"Satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas" Hallahan dan Kauffman(2006)
"Pendidikan Khas merupakan program pengajaran khusus yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan-bahan, peralatan dan kaedah pengajaran khusus" Gargiulo(2003)

"Pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang kurang upaya. Pengajaran ini mun gkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institusi lain" Friend (2005)
"Program Pendidikan Khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan mampu menguruskan serta menyedari potensi diri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara" Mansor (2005)

Apakah itu Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran)?
 Murid-murid Pendidikan Khas yang dikategorikan bermasalah pembelajaran ialah:
1. Autisme
2. Sindrom Down
3. Selebral Palsi
4. Dileksia
5. Hiperaktif (ADHD) / Hipoaktif
6. Lembam
7. Pintar cerdas
8. Terencat akal yang minima

 Setiap murid-murid ini mempunyai potensi yang berbeza-beza. Teknik pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai diterapkan mengikut tahap kebolehan murid. Tahap masalah murid-murid ini boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iatu baik, sederhana dan lemah.
Bagi memenuhi keperluan individu proses pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran dibentuk secara fleksibel dan ini bertepatan dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997,yang menyatakan“ Guru -guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat  Pendidikan Khas”.
  Definisi Kanak – kanak Berkeperluan Khas

Kanak – kanak berkeperluan khas ( exceptional children ) terdiri daripada kanak – kanak yang mengalami kesukaran belajar. Kanak – kanak pintar cerdas (gifted) yang mempunyai kebolehan yang jauh lebih tinggi daripada norma juga diklasifikasikan sebagai kanak – kanak berkeperluan khas. Kedua – dua kumpulan pelajar ini memerlukan pengubahsuaian kepada kurikulum dan kaedah mengajar supaya mereka dapat merealisasikan potensi mereka ( Heward, 2003 ) Pelbagai istilah lain telah digunakan untuk ‘ kanak – kanak berkeperluan khas ’ ini seperti kanak – kanak istimewa, kanak – kanak luar biasa, kanak – kanak kurang upaya, kanak – kanak cacat, kanak – kanak abnormal, kanak – kanak bermasalah dan kanak – kanak terbantut pertumbuhan dan perkembangan.
Menurut Kail (2001) hampir 4% daripada populasi dunia terdiri daripada individu luar biasa atau kanak – kanak berkeperluan khas. Terdapat kanak – kanak yang dilahirkan tanpa boleh mendengar apa – apa bunyi. Manakala ada juga yang dilahirkan tanpa mempunyai keupayaan untuk melihat objek atau cahaya termasuk muka ibu bapa sendiri. Terdapat kanak – kanak yang mengalami kesukaran memberi tumpuan atau mengalami kerencatan mental sejak lahir.
Secara umumnya, kanak – kanak berkeperluan khas berbeza daripada kanak – kanak normal dari segi mental ( pencapaian akademik ), keupayaan deria ( melihat dan mendengar ), keupayaan berkomunikasi ( menulis dan bertutur ), tingkah laku (mengawal diri) dan emosi ( bercampur gaul ) dan  ciri – ciri fizikal (bergerak dan menjaga diri sendiri).

2.2 Istilah Kanak – kanak Berkeperluan Khas
2.2.1     Handicap
Sesuatu kelemahan yang terdapat pada seseorang akibat daripada sesuatu kekurangan yang menghadkan atau menghalang seseorang itu memenuhi peranan sebagai seorang yang normal. Sesuatu jenis kecacatan mungkin menjadi masalah dalam satu persekitaran yang berlainan. Misalnya, seorang pelajar bermasalah pendengaran mungkin cacat kerana sukar bermain alat muzik dalam pancaragam sekolah bersama pelajar di aliran perdana. Sebaliknya pelajar yang sama tidak merasa kecacatannya ketika dalam makmal sains.

2.2.2     Disability
Sesuatu yang menghalang seseorang melakukan kerja atau tugas tertentu yang dapat dilakukan oleh individu normal. Contohnya, seorang pelajar yang lumpuh pada kedua – dua kakinya tetapi boleh pergi ke sekolah menggunakan kerusi roda dan berlajar bersama pelajar lain yang tidak cacat.


2.2.3     Impairment
Ketidaknormalan dari aspek psikologi, fisiologi dan anatomi. Ia juga berkaitan ketidaknormalan struktur atau fungsi dari segi psikologi, fisiologi dan anatomi. Contohnya, kekurangan dari aspek aras pendengaran dan aras penglihatan.

Ringkasnya, kanak – kanak yang dikategorikan dalam kumpulan – kumpulan di atas memiliki ciri – ciri umum tertentu yang dikongsi oleh kanak – kanak dalam kumpulan yang sama. Contohnya, kanak – kanak yang dikategorikan sebagai bermasalah pendengaran berkongsi ciri – ciri ketidakupayaan mendengar bunyi dan menghadapi masalah bertutur. Bagaimana pun, perlu ditegaskan bahawa ciri – ciri ini hanya wujud dari segi teori sahaja kerana setiap individu adalah tidak sama dan berbeza.

Dalam keadaan sebenar, kanak – kanak yang dikategorikan sebagai pekak tidak semua mempunyai tahap kepekakan yang sama atau ketidakupayaan menghasilkan bahasa pertuturan yang sama. Ada di kalangan kanak – kanak yang dikategorikan dalam kumpulan yang lain. Mereka mungkin memiliki persamaan dari segi ciri – ciri umum tetapi tidak sama dari segi ciri – ciri khusus. Memahami persamaan dan perbezaan ciri – ciri umum dan khusus ini amat penting bagi guru pendidikan khas. Kanak – kanak dalam sesuatu kategori berbeza dan mempunyai potensi diri yang berbeza. Oleh itu, guru seharusnya memberi layanan yang berbeza kepada setiap kanak – kanak dalam sesuatu kumpulan atau kategori.

1 comment: