Wednesday 12 April 2017

Pengenalan kepada Pendidikan Khas


DEFINISI PENDIDIKAN KHAS

Definisi Pendidikan Khas pula ialah satu bidang yang berkaitan dengan kaedah, teknik dan penyelidikan yang tersendiri. Kesemua ini menumpukan ke arah pengurusan dan pembelajaran yang baik bagi menilai dan mematuhi kehendak – kehendak khas. Dari segi praktiknya pendidikan khas merupakan pendidikan individual dengan kaedah-kaedah pengurusan yang bersistematik dari segi susunan fizikal, alatan-alatan khas dan kaedah pengajaran khas. Kesemua intervensi-intervensi yang dibuat ini semata-mata untuk menolong kanak-kanak khas untuk mencapai kepuasan diri dari segi akademik dan vokasional untuk membolehkan mereka berdikari.
Menurut Hallahan dan Kauffman (2006) : Pendidikan Khas didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak – kanak berkeperluan khas. Gargiulo (2003) pula menyatakan Pendidikan Khas merupakan program pengajaran khusus yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan – bahan, peralatan dan kaedah pengajaran khusus.Friend (2005) menyatakan Pendidikan Khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi memenuhi keperluan kanak – kanak kurang upaya. Pengajaran ini mungkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institusi lain. Mansor (2005) : Program pendidikan khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Pendidikan khas juga satu program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid-murid khas. Perkara ini termasuk penggunaan bahan-bahan khas, peralatan khas, teknik pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan dan keupayaan murid. “Pendidikan Khas merujuk pada pendidikan bagi kanak-kanak luar biasa iaitu kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial dan emosi yang tidak mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa hinggakan mereka tidak faedah sepenuhnya daripada rancangan sekolah biasa. (Chua Tee dan Koh Boh Boon,1992).
"Satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas" Hallahan dan Kauffman(2006)
"Pendidikan Khas merupakan program pengajaran khusus yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan-bahan, peralatan dan kaedah pengajaran khusus" Gargiulo(2003)

"Pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang kurang upaya. Pengajaran ini mun gkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institusi lain" Friend (2005)
"Program Pendidikan Khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan mampu menguruskan serta menyedari potensi diri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara" Mansor (2005)

Apakah itu Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran)?
 Murid-murid Pendidikan Khas yang dikategorikan bermasalah pembelajaran ialah:
1. Autisme
2. Sindrom Down
3. Selebral Palsi
4. Dileksia
5. Hiperaktif (ADHD) / Hipoaktif
6. Lembam
7. Pintar cerdas
8. Terencat akal yang minima

 Setiap murid-murid ini mempunyai potensi yang berbeza-beza. Teknik pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai diterapkan mengikut tahap kebolehan murid. Tahap masalah murid-murid ini boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iatu baik, sederhana dan lemah.
Bagi memenuhi keperluan individu proses pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran dibentuk secara fleksibel dan ini bertepatan dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997,yang menyatakan“ Guru -guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat  Pendidikan Khas”.
  Definisi Kanak – kanak Berkeperluan Khas

Kanak – kanak berkeperluan khas ( exceptional children ) terdiri daripada kanak – kanak yang mengalami kesukaran belajar. Kanak – kanak pintar cerdas (gifted) yang mempunyai kebolehan yang jauh lebih tinggi daripada norma juga diklasifikasikan sebagai kanak – kanak berkeperluan khas. Kedua – dua kumpulan pelajar ini memerlukan pengubahsuaian kepada kurikulum dan kaedah mengajar supaya mereka dapat merealisasikan potensi mereka ( Heward, 2003 ) Pelbagai istilah lain telah digunakan untuk ‘ kanak – kanak berkeperluan khas ’ ini seperti kanak – kanak istimewa, kanak – kanak luar biasa, kanak – kanak kurang upaya, kanak – kanak cacat, kanak – kanak abnormal, kanak – kanak bermasalah dan kanak – kanak terbantut pertumbuhan dan perkembangan.
Menurut Kail (2001) hampir 4% daripada populasi dunia terdiri daripada individu luar biasa atau kanak – kanak berkeperluan khas. Terdapat kanak – kanak yang dilahirkan tanpa boleh mendengar apa – apa bunyi. Manakala ada juga yang dilahirkan tanpa mempunyai keupayaan untuk melihat objek atau cahaya termasuk muka ibu bapa sendiri. Terdapat kanak – kanak yang mengalami kesukaran memberi tumpuan atau mengalami kerencatan mental sejak lahir.
Secara umumnya, kanak – kanak berkeperluan khas berbeza daripada kanak – kanak normal dari segi mental ( pencapaian akademik ), keupayaan deria ( melihat dan mendengar ), keupayaan berkomunikasi ( menulis dan bertutur ), tingkah laku (mengawal diri) dan emosi ( bercampur gaul ) dan  ciri – ciri fizikal (bergerak dan menjaga diri sendiri).

2.2 Istilah Kanak – kanak Berkeperluan Khas
2.2.1     Handicap
Sesuatu kelemahan yang terdapat pada seseorang akibat daripada sesuatu kekurangan yang menghadkan atau menghalang seseorang itu memenuhi peranan sebagai seorang yang normal. Sesuatu jenis kecacatan mungkin menjadi masalah dalam satu persekitaran yang berlainan. Misalnya, seorang pelajar bermasalah pendengaran mungkin cacat kerana sukar bermain alat muzik dalam pancaragam sekolah bersama pelajar di aliran perdana. Sebaliknya pelajar yang sama tidak merasa kecacatannya ketika dalam makmal sains.

2.2.2     Disability
Sesuatu yang menghalang seseorang melakukan kerja atau tugas tertentu yang dapat dilakukan oleh individu normal. Contohnya, seorang pelajar yang lumpuh pada kedua – dua kakinya tetapi boleh pergi ke sekolah menggunakan kerusi roda dan berlajar bersama pelajar lain yang tidak cacat.


2.2.3     Impairment
Ketidaknormalan dari aspek psikologi, fisiologi dan anatomi. Ia juga berkaitan ketidaknormalan struktur atau fungsi dari segi psikologi, fisiologi dan anatomi. Contohnya, kekurangan dari aspek aras pendengaran dan aras penglihatan.

Ringkasnya, kanak – kanak yang dikategorikan dalam kumpulan – kumpulan di atas memiliki ciri – ciri umum tertentu yang dikongsi oleh kanak – kanak dalam kumpulan yang sama. Contohnya, kanak – kanak yang dikategorikan sebagai bermasalah pendengaran berkongsi ciri – ciri ketidakupayaan mendengar bunyi dan menghadapi masalah bertutur. Bagaimana pun, perlu ditegaskan bahawa ciri – ciri ini hanya wujud dari segi teori sahaja kerana setiap individu adalah tidak sama dan berbeza.

Dalam keadaan sebenar, kanak – kanak yang dikategorikan sebagai pekak tidak semua mempunyai tahap kepekakan yang sama atau ketidakupayaan menghasilkan bahasa pertuturan yang sama. Ada di kalangan kanak – kanak yang dikategorikan dalam kumpulan yang lain. Mereka mungkin memiliki persamaan dari segi ciri – ciri umum tetapi tidak sama dari segi ciri – ciri khusus. Memahami persamaan dan perbezaan ciri – ciri umum dan khusus ini amat penting bagi guru pendidikan khas. Kanak – kanak dalam sesuatu kategori berbeza dan mempunyai potensi diri yang berbeza. Oleh itu, guru seharusnya memberi layanan yang berbeza kepada setiap kanak – kanak dalam sesuatu kumpulan atau kategori.

Wednesday 29 March 2017

Kepentingan Teknologi dalam Pendidikan

Kepentingan teknologi dalam  pendidikan ialah teknologi akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan dan berkesan di dalam kelas. Contohnya menggunakan alat seperti powerpoint, flash, video, visual dan mereka hanya perlu mengaplikasikan alatan tersebut ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui cara ini proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana pelajar akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk di fahami. Justeru itu pelajar tidak akan mudah merasa jemu dan bosan dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran kerana tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui ICT.
Selain itu manfaat yang diperolehi kesan daripada penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah dapat memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua pelajar yang pelbagai keupayaan. Di dalam sesebuah kelas tidak semua pelajar mempunyai kebolehan yang sama dalam menerima sesuatu yang diajar oleh guru. Justeru itu melalui penggunaan ICT murid-murid dapat memahami apa yang diajar dengan lebih jelas kerana proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik serta berkesan hasil daripada penggunaan alatan ICT tersebut. Contohnya melalui pengunaan alat seperti powerpoint, grafik, audio, video dan sebagainya maka murid-murid akan lebih memahami setiap apa yang di ajar kerana di beri gambaran dan persembahan dan persembahan yang lebih mudah untuk difahami berbanding dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk pengkuliahan. Melalui cara ini setiap masalah yang timbul dapat segera dimaklumkan oleh pelajar kepada guru kerana mereka mudah bertindak balas terhadap sistem yang diajar menggunakan ICT.
Di samping itu kesan penggunaan ICT ialah dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih aktif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Dengan adanya ICT guru dapat mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran dan bukan hanya tertumpu kepada teknik pengkuliahan sahaja bahkan dapat mempertingkatkan kualiti pengajaran dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang terdapat dalam ICT. Melalui penggunaan alat ICT guru dapat menerangkan kepada pelajar dengan lebih terperinci serta mendalam mengenai sesuatu subjek. Contohnya penggunaan internet sebagai alat untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai dunia pendidikan. Kemahiran menggunakan internet membolehkan guru dan pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih cepat serta efisen tanpa perlu menunggu masa yang lama seterusnya dapat di gunakan dalam aktiviti pembelajaran. Melalui cara ini kualiti pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan kerana maklumat-maklumat dapat terus di akses kedalam sistem.
Selain mewujudkan pengajar yang kompeten, tumpuan utama teknologi pendidikan  ialah untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan.Pengajaran yang berkesan membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan dan sikap yang diharapkan. Pengajaran yang dirancang dengan teliti dan lengkap membantu mewujudkan keyakinan, kepercayaan dan perasaan hormat pelajar terhadap pengajar sekaligus membantu pembinaan disiplin yang positif

Teknologi pendidikan perlu dititik beratkan dalam penyampaian kandungan P&P oleh guru. Murid-murid perlu dibawa keluar daripada kepompong ciri-ciri pembelajaran abad ke-19, antaranya, guru ibarat pelayan komputer (server) yang meyimpan beribu-ribu maklumat dan murid ibarat cakera keras (hard disk) tanpa memori yang menunggu untuk diisi. Gaya pembelajaran terkini, seperti yang ditegaskan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), menyarankan penggunaan pelbagai pendekatan seperti pembelajaran secara hands-on, kontekstual, konstruktivisme dan masteri; melalui permainan dan inkuiri penemuan; dan berasaskan projek. Pendekatan yang digunakan haruslah memberi peluang yang tidak terhad kepada murid dan mengambil kira tahap kecerdasan murid. Ini adalah selaras dengan gaya pembelajaran abad ke-21 yang berpaksikan literasi era digital, murid berfikir secara kreatif dan inovatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penghasilan kerja yang tinggi.


Sunday 26 March 2017

Teknologi dalam Pendidikan Khas

images3
Pendidikan khas juga tidak terkecuali dari tempias perkembangan ICT yang membantu proses P&P yang berlaku di sekolah pendidikan khas.  Pelajar berkeperluan khas ini menunjukkan kesukaran dalam keupayaan visual ruang. Mereka menghadapi masalah berkaitan pengiraan, bahasa, dan sebagainya.Oleh itu, mereka mempunyai keupayaan yang terhad dalam pencapaianberbanding pelajar-pelajar biasa yang sebaya dengannya. Justeru itu,pengenalan ICT kepada pelajar khas merupakan satu idea yang perludipertimbangkan terlebih dahulu, kerana ICT memerlukan pelajar yangmenguasai dan berkemahiran dalam menggunakannya.
Oleh itu, tahap pelajar khas yang sederhana dalam pencapaian akademik dibimbangi akan menyebabkan mereka takut dan tidak berminat menguasai ICT. Ini akan menjadi satu kerugian jika ICT tidak diaplikasi dalam pendidikan kerana banyak kelebihan boleh digunakan melaluinya. Berdasarkan kepada kajian dokumentasi yang dilakukan oleh Mohd Arif Hj Ismail dan Norsiati Razali @ Mohd Ghazali (2003) ke atas sebuah sekolah bestari di daerah Kuantan, Negeri Pahang, Malaysia didapati bahawa penggunaan makmal komputer untuk penggunaan perisian kursus bestari atau melayari internet yang disediakan agak kurang memuaskan. Oleh itu, tahap penggunaan komputer di Sekolah Pendidikan Khas menjadi persoalan yang boleh dikaji, ekoran daripada kajian yang telah dijalankan di sekolah bestari kerana perlaksanaan di kedua-dua sekolah adalah berbeza.

Pendidikan Khas
Di Malaysia, pendidikan khas dikelaskan kepada mereka yang mempunyai kecacatan seperti cacat penglihatan (buta), cacat penglihatan (pekak), dan lain-lain. Falsafah Pendidikan Khas menegaskan mengenai kepentingan setiap orang kanak-kanak yang mempunyai perbezaan dalam diri sendiri dan antara individu-individu. Oleh itu, pendekatan pembelajaran bagi setiap pelajar pendidikan khas adalah berbeza-beza dan mengikut kesesuaian mereka.
Pendidikan Khas Aliran Teknik dan Vokasional
Terdapat dua jenis kategori sekolah di bawah Pendidikan Khas Aliran Teknik dan Vokasional, iaitu Sekolah Khas dan Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi. Program integrasi (pelajar-pelajar menyesuaikan diri ke dalam sistem persekolahan yang tidak menyediakan ruang dan kemudahan untuk pengubahsuaian) dijalankan dengan kerjasama Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah harian yang mana sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi. Terdapat enam buah sekolah di bawah kategori sekolah ini, iaitu: Sekolah Menengah Vokasional (EAT) Azizah, Johor Bharu; Sekolah Menengah Teknik Langkawi, Kedah; Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor; Sekolah Menengah Vokasional Bagan Serai, Perak; Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah, Kelantan; dan Sekolah Menengah Vokasional Keningau, Sabah. Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang (SMPKP Pulau Pinang), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indah Pura Kulai (Johor), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam (SMPKV Shah Alam) pula merupakan antara contoh Sekolah Khas.

Pelajar Cacat Pendengaran (Pekak)
Kajian yang dijalankan adalah melibatkan pelajar cacat pendengaran dari aliran teknik dan vokasional sekolah pendidikan khas. Berdasarkan kepada pernyataan Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon (1992) bahawa kanak-kanak pekak boleh dikatakan lebih tepat sebagai seorang yang rosak pendengaran kerana dalam kebanyakan contoh, ia mempunyai pendengaran separa. Di dalam Sistem Pendidikan Khas, pelajar-pelajar dengan keperluan khas dalam kategori masalah pendengaran telah menggunakan Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran dimana murid-murid ini dilatih daripada segi pertuturan dan belajar subjek-subjek yang dipelajari oleh murid-murid biasa dengan menggunakan komunikasi seluruh bahasa isyarat. Program ini disediakan di dua tempat, iaitu di sekolah khas dan juga di sekolah biasa (program integrasi).
1
Pelajar cacat penglihatan (Buta)
Masalah penglihatan dari segi pendidikan bermaksud sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas kerana masalah penglihatan. Kaedah penyampaian pembelajaran dan bahan bantu mengajar perlu diadaptasikan dengan keperluan kanak-kanak ini supaya dapat mengoptimakan pembelajaran dan pencapaian mereka. Kanak-kanak ini memerlukan kurikulum khas yang khusus dan kaedah pengajaran yang sesuai dengan ketidakupayaan mereka. Masa mereka di sekolah adalah masa yang amat berharga yang perlu digunakan sepenuhnya untuk meminimumkan kesan kecacatan terhadap keupayaan mereka. Antara kaedah pengajaran yang digunakan ialah dengan menggunakan mesin braille serta kod tulisan braille. Bagi pelajar yang rabun pula, adalah lebih sesuai menggunakan kanta ataupun diberikan lembaran kertas kerja yang tulisannya bersaiz besar.
mesik-tik-braille1149024620X310
Dapat dirumuskan di sini bahawa strategi pengajaran merupakan antara faktor dalam menentukan kecemerlangan pelajar pendidikan khas, kerana peranan guru pendidikan khas amat penting dalam menentukan keberkesanan penggunaan komputer. Dengan pendedahan yang berterusan ke arah membudayakan penggunaan komputer, ia banyak memberi kelebihan kepada pelajar pendidikan khas dalam bersaing dengan pelajar biasa. Ini adalah bertujuan mengelakkan pelajar pendidikan khas ketinggalan ICT, memandangkan perkembangannya yang terlampau pesat. Oleh sebab itu, peranan pihak sekolah amat penting dalam menyediakan kemudahan komputer di sekolah. Antara cadangan yang boleh diberikan ialah guru sepatutnya sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi terkini serta menyertai kursus tentang penggunaan komputer agar dapat mempelbagaikan teknik pengajaran.

Apa itu Teknologi?

         Kita sering mendengar perkataan teknologi kerana kebanyakan daripada kita tahu bahawa sekarang dalah zaman teknologi di mana semua pekara menggunakan kecanggihan dan juga teknologi yang maju. Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia.Perkataan technology berasal dari perkataan Greek τεχνολογία (technología); dari τέχνη (téchnē), yang bermaksud "seni, kemahiran, rekaan", dan -λογία (-logía), yang bermaksud "pembelajaran, kajian". Istilah ini boleh digunapakai samada secara umum atau dalam bidang tertentu: contohnya technologi pembinaan, teknologi perubatan, dan teknologi maklumat.Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan gadget menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi.
            Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yang mana teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah.Takrifan teknologi yang diguna pakai di sekolah-sekolah dan institusi-insitusi pengajian tinggi di Malaysia ialah aplikasi pengetahuan sains yang boleh memanfaatkan serta menyelesaikan masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
         Oleh itu, penggunaan teknologi dalam kehidupan sangat penting. Dalam banyak pekara teknologi sangat penting untuk memudahkan sesuatu pekara dan juga memudahkan kehidupan manusia. Dalam pendidikan tidak terkecuali. Oleh itu, blog saya ini adalah berkaitan dengan bidang teknologi dalam pendidikan yang merupakan subjek wajib diambil oleh semua pelajar di Fakulti Pendidikan,UKM. Hal ini kerana, umum mengetahui banyak penggunaan teknologi khususnya dalam bidang pendidikan,pendidikan khas. Oleh itu, pengetahuan mengenai teknologi penting untuk membolehkan guru mengaplikasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.


Selamat Datang ke Blog Saya

Assalamualaikum.Selamat datang ke blog saya. Blog ini adalah tugasan untuk Teknologi Pendidikan kami telah diberikan beberapa tugasan untuk dimasukkan ke dalam blog ini. Selamat Maju Jaya.